Pages

Thursday

Bilik Di Tepi Dapur.


Sebelum saya pulang ke UIA akhir Mac dulu Abah ada berkata.

"Hand phone arwah Jiji nanti kakak peganglah. Simpan. Jangan jual. Jangan hilangkan."

Jiji adalah panggilan nama untuk arwah adik saya. Semua orang dalam keluarga kami memanggilnya dengan panggilan itu. Hanya saya dan Angah saja yang memanggilnya Toyat.

Dek kerana kata-kata Abah, saya seperti mengabaikan telefon  saya sendiri. Tanpa sedar, saya tertinggalkan charger phone saya di Johor manakala telefon arwah lengkap dengan USB dan charger saya bawa pulang bersama ke UIA. Sudahnya, saya menggunakan hand phone arwah sepenuh masa dan hand phone saya pula, saya simpan sahaja di dalam beg.

Kata Angah.

"Gunalah barang arwah kalau boleh guna. Aku pun pakai kasut dia. Abah yang suruh. Biar pahala untuk dia terus berjalan."

Mudah-mudahan. Insya Allah. 

Sebenarnya.

Saya tiada masalah mahu menggunakan barang arwah. Saya mampu mengawal perasaan untuk tidak menangis biarpun sesekali ada juga bergelinang air mata. Lagi-lagi apabila mendengar lagu 'Pergi Selamanya' nyanyian Kamikaze di MP3 handphone arwah.


Namun untuk menggunakan bilik arwah, saya bimbang saya tidak mampu. Sejak arwah pergi, saya belum pernah lagi masuk ke biliknya. Terlalu banyak kenangan antara saya dan dia ada di situ. Teringat bagaimana dulu saya dan dia melepak bersama sehingga larut pagi. Saya yang suka menumpang tidur di biliknya biar terpaksa membentang tilam di lantai. Teringat bagaimana saya baring di bawah dan arwah pula tidur di atas katil. Kadang-kadang dia menjengukkan kepalanya ke bawah apabila mahu mengajak saya berbual.

Sehinggakan abah berkata 'Kakak tidurlah kat bilik depan dengan Cot. Kenapa tidur kat lantai?'

Allah.
Dia saja yang tahu sebenar-benar perasaan saya ini saat imbasan-imbasan kenangan itu datang.

Kata Along.

"Kita tak boleh selamanya macam ni. Kena lawan perasaan tu. Kena masuk bilik dia. Tengok barang-barang dia. Awalnya memang kita akan menangis sebab kita sedih dia dah tiada. Tapi, lama-lama nanti kita kuatlah."

Along benar.

Mudah-mudahan, pulang ke Johor nanti saya punya ketahanan hati untuk tidak menangis tatkala mendiami bilik itu. Dalam keadaan kaki begini, saya perlukan bilik air yang paling hampir dengan tempat tidur. Dan bilik arwah adalah yang paling dekat. Paling strategik.Lagipun, saya juga sudah berjanji pada Ibu dahulu.

"Sekarang kakak tak boleh masuk bilik Toyat lagi. Tak kuat. Cuti sem nanti kakak balik, harap-harap masa tu dah ok. Kakak nak tinggal kat bilik tu. Nak kemas cantik-cantik biar rasa macam semuanya cukup."

Seperti mana saya redha dia pergi, itu tandanya saya juga harus kuat untuk lalui semua ini. Iman itu perlu dibuktikan dengan lidah, hati, dan perbuatan. Ingatkan kembali bahawa bukankah jagaan Allah itu jauh lebih baik dan terpelihara? Dan ketahuilah diri, arwah adik kamu itu sudah selamat di bawah jagaan-Nya.

Jadi.
Tidak perlu risau.
Tidak perlu sedih.
Senyumlah manis persis gula-gula.
Yang sekiranya senyuman itu terlihat pada lain mata.
Akan terasa bagaikan mahu tersenyum sama.

Anggap saja dia sudah bertukar 'bilik' di satu alam yang jauh lebih baik. Jauh daripada tipu daya dunia. Dan saya janji pada diri saya sendiri, bilik yang arwah tinggalkan itu akan saya penuhi dengan ayat-ayat Allah, puji dan puja yang berterusan kepada-Nya. Mudah-mudahan bilik itu kan terus 'hidup' dan tidak sunyi lagi dan arwahkan tenang di alam sana apabila biliknya di dunia digunakan oleh orang lain untuk membuat kebaikan.

Renunglah semula masa lalu dan masa depan kita. Insaflah bahawa hidup ini penuh dengan peristiwa yang datang silih berganti, orang yang mampu keluar dari ujian itu dengan selamat itulah yang menang.


"Dia (Allah)  Maha Mengasihani kepada orang-orang yang beriman."


(Dr. Aid Abdullah Al Qarni: Motivasi menjadi wanita yang paling bahagia)
Penghargaan

Apabila Aku Rindu Kamu, Aku Mengadu Pada ALLAH.

P/S:Pernahkah kau merasai satu saat rindu itu datang dan kau tidak tahu mahu ucapkannya pada siapa? Jika kau merasa apa yang kurasa, aku harap rindu itu berganti dengan rasa rindu mahu bertaubat dan kembali ber-Taqwa pada-Nya. Ameen.

Tuesday

7 Botol.



Beberapa minggu yang lepas saya telah ke Hospital Seremban untuk memeriksa luka jahitan selepas pembedahan. 

Sementara menunggu giliran,saya sempat memerhatikan gelagat para pesakit di sini. Ada seorang Pak Cik lingkungan umur 50-an yang sangat peramah telah menarik perhatian semua orang di situ. Dia menceritakan pengalamannya dirodok dengan pisau penebas rumput pada 5 tahun lepas. Lukanya parah. Namun, berkat meminum air Pati Ikan Haruan Polleney setiap hari sehingga habis 1 dozen, lukanya cepat pulih dan dia kini sudah mampu berjalan seperti biasa.

Saya mengerling kepada abang ipar saya yang tersengih-sengih mendengarkan Pati Ikan Haruan Polleney yang disebut-sebut sebagai minuman terbaik.

Semalam sebelum ke hospital.

Saya seperti diserang 'sawan' apabila dipaksa minum Pati Ikan Haruan Polleney oleh Along. Bagaimana saya mahu menggambarkan rasanya.

Hmm.

 Rasa pati tersebut sangat tidak sedap. Pelik. Ganjil dan berpuaka. Hanyir dan apabila mencecah tekak, seperti ada ratusan kepala ikan haruan menonjol-nonjol anak tekak saya supaya muntah. Rasanya tidak seindah namanya. Polleney. Sebutan yang sangat comel seperti meminum air jus buah-buahan buatan luar negara. Tetapi, hakikatnya rasanya sangat pelik menerawang ke otak sehinggakan menjadikan saya trauma mahu meminumnya kali kedua.

Otak rasa terbejat. Rasanya sangat dahsyat sehingga terngiang-ngiang di tekak biarpun hanya meneguk satu botol kecil.

Melihatkan saya yang berubah menjadi gedik, menggelitik seperti cacing yang membuat tarian kuda kepang, serta seakan-akan 'menurun' seperti didendangkan dengan muzik Mak Yong  tatkala minuman itu disuakan ke mulut, Rayyan dan Along ketawa terkekeh-kekeh geli hati.

Nampaknya khasiat air ini bukan saja mampu merubah saya menjadi seekor cacing, malah mampu membuatkan orang sekeliling saya bergembira dengan transformasi saya.

 "Minumlah sampai habis. Kan nak cepat baik. Anggap macam tak ada rasa."kata Along gaya memujuk.

"Along tak faham perasaan tu macam mana. Macam tengah minum semangkuk darah. Rasa macam diri ni dracula."balas saya dengan ayat metafora.

Kagum pada Rayyan yang berumur 1 tahun 4 bulan itu. Saya menyuakan sebotol Pati Ikan Haruan Polleney ke mulutnya. Saya ingatkan, dia akan termuntah apabila meneguknya. Sangkaan saya silap. Dia malah  meminumnya sambil berkata 'Sedap' versi pelat. 

Along juga meminumnya sedikit sambil berkata 'Sedap'.Sah, mereka adalah dua beranak yang mempunyai cita rasa yang pelik!

Bersusah payah saya cuba menghabiskan 1 beg Pati Ikan Haruan Polleney yang berjumlah 6 botol itu secara perlahan-lahan tanpa terpaksa. Kasihan melihat Along dan Abang Pajeli yang bersusah payah menjaga dan membelikan saya bermacam ubat dan makanan. Walaupun tidak suka, saya tahankan tekak untuk minum dengan ceria. 

1,2, dan 3.

Lega melihat jumlah botol yang semakin berkurang.Itu tandanya saya mampu menghabiskan ubat.

Namun.

Dua hari lepas.

Abang ipar saya pulang dengan nada riang. Menjinjit seplastik beg Pati Ikan Haruan Polleney. Kali ini  dengan perisa baru tambahan Gamat. Dengan selamba dia berkata,

 "Abang beli lagi Pati Ikan Haruan Polleney. Kali ni beli 6 dapat percuma 1. Nanti minum habiskan."

Peh, pengsan! 

Pati Ikan Haruan Polleney. Sesuai diamalkan oleh golongan yang mempunyai lidah tahan lasak dan berhati kental. 1 pek bersamaan RM31.90.

P/S: Doktor kata luka saya cantik. Tak bernanah. 27hb nanti dah boleh buka jahitan. Insya Allah.Nak cepat sihat kena makan ubat. Tekak, janganlah sedih. 7 botol saja lagi.Janji! :')

Wassalamualaikum w.b.t

Wednesday

Ortopedik.


3 hari di Hospital Selayang, saya belajar banyak perkara.

Dihimpunkan bersama-sama orang yang sakit sejenis malah lebih teruk lagi, saya belajar erti bersyukur. Sakit yang saya tanggung tak seperit manusia-manusia lain. Ya, tulang kaki kanan saya telah patah tetapi saya masih ada kaki kiri yang sihat,mampu menyokong pergerakan saya. Jika hendak dibandingkan dengan pesakit-pesakit lain, sayalah yang paling bertuah kerana masih mampu turun daripada katil untuk ke bilik air. Mak Cik Fatimah yang duduk di hadapan katil saya, menjalani pembedahan lutut satu hari awal daripada saya hanya mampu terbaring. Nenek di sebelah katil saya pula, pinggangnya disyaki patah kerana telah jatuh terduduk. Senang kata, Wad Ortopedik adalah tempat yang menghimpunkan manusia-manusia seperti kami yang mengalami kecederaan tulang.

Saya tidak mahu menyusahkan orang sekeliling saya terutamanya Ibu dan Abah. Awal-awal lagi saya sudah memberitahu orang tua saya supaya tenang sahaja di rumah. Tidak perlu turun ke Kuala Lumpur daripada Johor. Dan sebenarnya. Seawal jatuh, saya tidak boleh mendengar suara Ibu. Sebak mahu menangis. Berkali-kali saya katakan pada diri supaya saya harus kuat. Mudah-mudahan kekuatan saya mampu menjadi cas positif buat orang sekeliling saya.

Tiba di hospital dengan Teksi dan 3 buah beg, saya termangu-mangu mahu melakukan apa.Apabila mendaftar wad seorang diri dalam keadaan kaki bertongkat, bertalu-talu soalan daripada Kakak Kaunter tentang saya,mengapa seorang diri, di mana keluarga, dan bagaimana boleh sakit. Dengan tersenyum saya menceritakan kisah saya. Tentang insiden arwah, diikuti saya menangis kemudian jatuh, tentang keluarga yang jauh, tentang masalah pengangkutan dan sahabat-sahabat yang sedang menduduki peperiksaan. Saya lihat ada air mata yang bertakung pada mata kakak itu. Saya pula yang harus menasihatinya supaya bersabar.

Sabar itu indah. Telah saya katakan, ujian saya ini masih tidak setanding ujian manusia-manusia lain. Ada yang jauh lebih tersiksa. Sekurang-kurangnya segala bil pembedahan dan hospital saya yang mencecah ribuan tu, telah ditanggung pihak universiti. Alhamdulillah. Nikmat Tuhan yang manakah yang saya boleh dustakan? Entah daripada mana kekuatan itu datang, saya gagahkan diri menolak beg. Mungkin kerana terkesan membaca teks yang dikirimkan seorang sahabat baik 'Awak jangan sedih. Awak tak pernah berseorangan. Allah sentiada ada untuk menjaga.' Dalam waktu itu juga pertolongan Allah tiba.Ada seorang Uncle Cina menawarkan diri mahu menolong. Beg saya diangkat dan dia menghantar saya menaiki lif sehingga tiba selamat di Wad Ortopedik.

Manusia-manusia di wad tempat saya menginap sangat baik dan mulia hati. Mereka melayan saya seperti saudara sendiri malah sanggup menawarkan pertolongan mengemas dan menyusun keperluan saya. Mengambilkan air dan memberikan makanan. Sehinggalah Along tiba pada waktu Maghrib, mereka berasa lega hati kerana ada yang menjaga dan menjenguk saya. Kasihan Along yang telah bersusah payah. Dia mengambil cuti mengajar untuk menemani saya. Kedatangannya adalah penguat semangat untuk saya. Seperti hilang semua kesedihan yang saya lalui sepanjang bulan ini. Berada di samping keluarga adalah terapi terbaik untuk sesiapa saja yang sakit di dunia ini. Itu telahan saya.

13 April 2012.

Saya diusung ke bilik bedah pada jam 11 pagi. Rasa berdebar-debar dan takut jelas terasa. Jururawat menasihati saya supaya bertenang kerana bimbang tekanan darah saya akan menjadi rendah. Lalu, khalimah Allah saya lantunkan supaya hati ini terisi, berdoa pembedahan ini berjalan lancar tanpa masalah. Saya dibaringkan di atas katil khas. Jika selama ini saya hanya menontonnya di televisyen, hari ini saya mengalaminya sendiri perasaan dibaringkan di bawah cahaya lampu bilik bedah. Keadaan bilik pembedahan pula sangat sejuk sehingga membuatkan saya menggigil-gigil. Kemudian, tangan saya didepangkan. Sempat saya berpesan kepada Puan Misi supaya tidak menarik baju saya berlebih-lebihan. Malu. Namun, setelah disuntik ubat bius, saya tidak nampak apa-apa. Gelap. Entah apa yang mereka lakukan pada saya, tidak saya ketahui.


2 jam kemudian, saya dengar nama saya dipanggil. Kabur. Saya tidak dapat melihat apa-apa. Kepala juga terasa berat. Saat ini, baru terasa sakitnya kerana kesan ubat bius semakin hilang. Hanya Tuhan yang tahu sakitnya. Terasa ada air mata mengalir di pipi. Waktu ini, saya teringkatkan arwah adik saya. Jika sakit seperti ini yang saya rasa, dia apatah lagi. Seperti ada pisau yang menyiat-nyiat kulit kaki saya. Pedih. Ini baru sedikit. Sedangkan sakit mati yang arwah adik saya telah lalui adalah sakit yang tak terkalahkan oleh mana-mana sakit di dunia. Lalu, saya dipakaikan topeng oksigen sekali lagi dan air mata turun tidak henti-henti.

Hari pertama selesai daripada pembedahan, saya tidak mampu bergerak berlebih-lebihan. Alonglah yang sabar melayan dan menunggu saya. Saya tidak dapat membayangkan keadaan jika tiada dia di sisi. Payah kerana saya umpama bayi kecil yang mengharapkan belas manusia sekeliling. Sewajarnya saya mampu membuang air kecil sendiri tanpa bantuan orang lain, tetapi pada waktu itu nikmat berdiri dan berjalan telah Tuhan tarik sekejap. Saya terpaksa membuang air di dalam besen dengan bantuan Along. Mak Cik di hadapan puas menyakat dan mengusik saya kerana karenah saya yang pemalu minta dipasangkan lagu dan pelbagai permintaan pelik yang lain.

Hari ini. 18 April 2012.

Saat orang lain sibuk dengan persiapan menghadapi peperiksaan akhir dan course work, saya terpaksa melupakan sementara kecintaan saya pada kuliah dan pengajian. Mengikut perancangan awal, semester ini adalah semester akhir saya di universiti tetapi atas nasihat semua pihak, terpaksa saya tangguhkan hasrat saya untuk berkonvokesyen pada awal Oktober tahun ini. Pengajian saya terpaksa ditangguhkan satu semester ke hadapan. Tidak mengapa. Saya percaya segala yang berlaku ada hikmahnya. Sesekali pun, saya tidak akan berburuk sangka pada Allah yang mentakdirkan begini untuk saya. Insya Allah. Alhamdulillah.

Saya juga mahu meminta maaf kepada semua group mate saya yang turut terkena tempiasnya. Maaf kerana tidak dapat memberi apa-apa sumbangan malah mungkin menyusahkan. Juga. Terima kasih untuk semua sahabat yang datang berziarah. Yang jauh dan yang dekat. Terima kasih kerana telah membuatkan saya rasa dihargai. Semoga Allah menggembirakan kamu kerana niat kamu yang mahu menggembirakan saya. Juga untuk sahabat yang datang tetapi katilnya telah kosong.

Hospital Selayang benar-benar merubah persepsi saya pada tugas doktor dan jururawat. Mereka melayan saya bukan seperti pesakit tetapi seperti ahli keluarga sendiri. Manusia-manusia di sekeliling saya juga adalah manusia hebat, membuatkan saya berasa tidak seperti berada di hospital. Tetapi seperti berada di rumah sendiri. Terima kasih warga HS.

Tuhan telah menganugerahkan saya nikmat masa yang banyak pada saat ini. Saya hanya duduk berehat di rumah Seremban (menunggu hari mahu pulang ke Johor kerana masih ada appoinment dengan Doktor di sini), dilayan seperti Tuan Puteri oleh Along dan Abang Pajeli memandangkan saya tidak boleh berjalan lagi. Mungkin, inilah masanya untuk saya sepuas hati berkarya dan membaca. Everything happen for a reason. Doakan saya. Terima Kasih.

Saya rindu Mak Cik Fatimah, Kakak, Nenek dan Aunty :')

P/S: Dimana bumi kita berada Allah sentiasa ada untuk menjaga.

Wassalamualaikum w.b.t.

Tuesday

Tanya Sama Pokok.

Arwah nenek selalu marah sebab perangai saya buas macam lelaki. Pantang nampak pokok yang rendang-rendang ada dahan, saya mesti gatal kaki nak panjat. Marahlah sekali, sepuluh kali juga saya ulang kesalahan yang sama. Degil macam tapai. Dah banyak kali terjatuh. Dah banyak kali luka-luka. Saya rasa saya masih tak insaf. Sampailah suatu hari saat petang bercuaca suam-suam kuku di sebuah daerah bernama Pontian.

(Sidratul Muntaha, 1999)

1999.

Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja.

Saya paling menyampah kalau disuruh duduk menunggu bas di pondok bas depan sekolah. Budak-budak lelaki di situ boleh tahan nakalnya sampai saya rasa saya nak kelar mulut mereka dengan pisau rembo. Setiap kali budak perempuan duduk diam-diam, sopan-sopan, mereka akan meludah bangku tempat kami duduk. Sungguh tidak patut.

Tujuannya agar kami bangun dan memberikan laluan untuk mereka duduk dan bermaharaja lela di pondok bas. Malas nak bergaduh dengan mereka sebabnya seganas-ganas saya, saya selalu menangis sebab mereka akan buli saya cukup-cukup sampai saya mengalah cakap ‘Sorry’.Pernah sekali saya terjatuh ke semak kerana mengelak daripada dibaling batu oleh budak-budak lelaki. Zaman itu, saya dengan budak-budak lelaki memang tak ngam. Memang asyik bergaduh 24 jam.Pantang jumpa muka. Eee. Geram Mak Jemah!

Jadi, disebabkan tidak tahan dengan perangai budak lelaki yang sangat liar, saya dan budak-budak perempuan lain pun menunggu bas di atas pokok berhampiran pondok bas. Macam kelakar jika dingat kembali. Dengan berpakaian baju kurung sekolah berwarna putih serta kain sekolah berwarna biru gelap, saya dan kawan-kawan yang sekepala akan duduk beramai-ramai di atas pokok sambil menggu bas datang. Kadang-kadang kami bergayut dari satu dahan ke dahan lain jika sudah terlampau bosan tahap ikan haruan goreng.

Hendak dijadikan cerita, dalam keseronokan saya bergayut tiba-tiba kain baju kurung saya tersangkut di salah satu dahan pokok. Puas saya menarik-narik badan saya ke bawah namun tidak berhasil. Saya masih lagi tergantung di atas dahan. Kawan-kawan yang lain sudah gelabah kerana pemandangan daripada sudut bawah,kelihatannya saya seperti sedang membuat cubaan membunuh diri kerana badan saya terhayun-hayun seperti buaian dalam keadaan kepala terjerut di atas pokok.

Saat itu, saya masih berumur 10 tahun. Saya tidak menangis. Tidak juga marah-marah kerana kawan-kawan saya menarik kain saya daripada bawah supaya saya jatuh untuk melepaskan diri dan tidak lagi tersangkut. Keadaan ketika itu agak havoc ala-ala saya sedang membuat pertunjukan sarkas dengan gaya paling tenang sekali. Budak-budak lelaki di seberang jalan sakan bersorak bagai menjerit-jerit nama saya. Ada yang gelak sehingga senak perut dan keluar air mata. Aduhai. Saya pula tergantung di atas pokok sambil tersenyum minta diselamatkan.

Dipendekkan cerita, saya tergantung di dahan pokok hampir 45 minit. Saat itu saya berasa sangat lemah kerana sukar bernafas. Mana tidaknya. Leher terjerut. Tudung pula sudah terselak. Alhamdulillah. Seorang daripada kawan saya menjumpai gunting di dalam beg. Dia segera memanjat pokok berdekatan dengan dahan tempat saya tersangkut. Kolar baju saya digunting dan saya akhirnya berjaya turun ke tanah dalam keadaan baju terabak.

Perasaan ketika itu?

Saya rasa macam nak pindah sekolah dan membuat pembedahan plastik menukar muka agar tidak dikenali. Hampir berbulan juga budak-budak lelaki memanggil saya dengan gelaran ‘Isteri Tarzan’. Juga, seminggu saya tidak memanjat pokok kerana trauma. Tetapi kerana pokok ibarat rumah kedua, tempat bermain saya semasa zaman kanak-kanak, sehingga dewasa ini saya masih lagi memanjat.

Pokok terakhir yang saya panjat adalah pokok jambu belakang rumah, semasa cuti semester tahun lepas ketika saya berusia 22 tahun. Pokok itu adalah pokok kenangan kerana ditanam oleh arwah nenek ketika saya berusia 13 tahun. Kini, pokok itu sudah berbuah dan meninggi. Saat ini arwah nenek telah lama pergi.

Sekarang?

Wajib berpuasa daripada sebarang aktiviti memanjat. Mari menjadi perempuan sejati. 100% ayu.

P/S: Bukankah dalam sekotak pensel warna ada pelbagai warna? Kenapa masih harus memilih ‘Hitam’ untuk mencorakkan warna kehidupan kita? Senyumlah kerana hidup kita ini warnanya warna-warni.

Wassalamualaikum w.b.t.